Ibu Hamil, Info Kesihatan

Apa Itu Bicornuate Uterus? Peluang Untuk Hamil dan Risikonya.

Bicornuate Uterus tu apa? Pernah dengar rahim bentuk Love? Pernah dengan tak tentang kelainan bentuk rahim? Salah satunya adalah bicornuate Uterus atau rahim bercabang. Secara jujur saya sendiri tak pernah dengar sehinggalah saya sendiri disahkan Doktor mengalaminya.

Bentuk rahim ada banyak rupanya!!

Oo sungguh saya tak tahu sebab masa kat sekolah belajar satu bentuk je. Ini contoh bentuk rahim normal yang kita belajar di sekolah. Dalam keadaan biasa dan dalam keadaan hamil.

Bentuk rahim ni penting kerana ia menentukan macam mana bayi duduk di dalam rahim semasa hamil. Lebih kurang 3% wanita dilahirkan dengan kecacatan bentuk atau struktur rahim.

Di bawah ini adalah contoh-contoh kelainan bentuk rahim. Ada antara kelainan bentuk rahim ini menjadi punca tidak boleh hamil. Bicornuate Uterus adalah antara kes yang biasa ditemui.

Apakah Bicornuate Uterus?

Bicornuate uterus adalah kelainan bentuk rahim yang mana keadaan rahim ada lekuk di bahagian atas, seakan akan bentuk love. Dan membahagi kepada dua bahagian kiri dan kanan.

Punca Bicornuate Uterus

Saya sendiri masih belum cukup faham punca keadaan ini. Yang saya tahu dari pembacaan ianya adalah kecacatan pembentukan rahim dari sejak kita lahir lagi. Sebab lain? Wallahualam.

Simptom Bicornuate Uterus

Kebanyakan wanita tak tahu pun mereka dilahirkan dengan bentuk rahim yang unik berbeza dari orang biasa. Ini kerana biasanya takde tanda atau simptom. Tetapi ada juga wanita yang mengalami simptom seperti

  • pendarahan tak normal
  • Keguguran berulang
  • sakit bila haid
  • Sakit bila bersama

Kesan Bicornuate Uterus

Secara umumnya ia tak bagi kesan pada kesuburan. Tetapi ada beberapa kesan atau keadaan bagi mereka yang mengalami Bicornuate Uterus iaitu

  • Keguguran
  • Mengganggu tumbesaran bayi
  • Risiko melahirkan bayi awal
  • Kedudukan bayi songsang dari mula hingga akhir
  • Melahirkan bayi secara pembedahan

Ada seorang wanita yang berkongsi pengalaman dengan saya, beliau baru kena buang ectopic dan katanya doktor kesan rahimnya bentuk love, boleh pregnant tapi berisiko untuk gugur.

Pernah juga seorang lagi sahabat senasib dengan saya berkongsi pengalamannya yang dah keguguran berkali-kali masih lagi berpeluang mendapat cahayamata. Kata doktor ruang sempit menjadi faktor bayi tak boleh develop dengan baik.

Tadi saya ada terima satu lagi perkongsian dari seorang ibu dua orang anak, anaknya yang pertama lahir secara normal walaupun bentuk Bicornuate Uterus kerana bayi terbentuk dengan kepala di bawah dari awal kehamilan sehingga akhir. Tak pusing. Manakala anak kedua bayi kepala keatas dari awal sampai akhir dan beliau melahirkan anak kedua secara pembedahan.

Bagaimana Tahu Bicornuate Uterus?

Ada beberapa cara bagi mengetahui kelainan bentuk rahim ini antaranya

  • Ujian Ultrasound
  • Ujian MRI
  • Ujian pelvik

Ada seorang wanita yang memberitahu saya, dia mengetahui rahimnya bentuk love bila doktor scan semasa hamil. Tapi tak semua kes boleh nampak melalui scan ultrasound. Macam kes saya banyak kali scan tak pernah nampak.

PENGALAMAN BICORNUATE UTERUS

Pengalaman saya sendiri, saya tak mengetahui pun keadaan saya. Sehinggalah semasa hamil anak kedua, kedudukan bayi songsang dari awal sampai akhir trismester. Sama seperti anak pertama. Ketika pemeriksaan di sebuah Klinik Sakit Puan Swasta di Manjung, Doktor tu ada mengandaikan mungkin ianya kerana bentuk rahim saya yang abnormal iaitu rahim bentuk love. Ada lekuk di tengah dan sebab tu bayi tak boleh pusing. Statik di situ dek ruang yang terhad. Saya teringat semasa anak pertama, sebelum pembedahan memang Doktor Pakar ada cuba untuk buat ECV, nak pusing kepala bayi ke bawah tapi tak berjaya. Jadi terus proceed untuk pembedahan.

Dan memang betul andaiannya bila saya dirujuk pada pakar O&G Hospital Manjung, doktor buka rekod masa bersalin anak pertama secara pembedahan, dan dicatat disitu Bicornuate Uterus dikesan. Kata Doktor Pakar tersebut saya memang tiada pilihan lain kecuali melahirkan secara pembedahan. Termasuklah untuk bayi seterusnya selepas ini. Terkejut pada mulanya, tetapi akhirnya saya redha.

Sekarang saya hamil anak ketiga selepas anak kedua berusia 7tahun. Ye agak lama jaraknya. Ada kisahnya di SINI.

Memang keadaan yang sama hamil kali ketiga nk, bayi songsang dari mula sampai akhir. Bila keadaan macam ni, kes dikategori sebagai high risk jadi memang Doktor akan pantau dari masa ke semasa. Ujian ultrasound memang kerap lah jugak buat. Syukur alhamdulillah setakat ni bayi ok. Saya dijangka bersalin 15/10 tetapi disebabkan akan melahirkan secara pembedahan maka saya akan diberi tarikh awal seminggu atau dua minggu dari due.

Inilah sedikit perkongsian saya mengenai salah satu bentuk kelainan rahim iaitu Bicornuate Uterus. Pada mereka yang mengalami nasib yang sama seperti saya, semoga tabah dan redha. Yang dapat hamil dan melahirkan cahaya mata tahniah dan bersyukurlah dengan rezki seadanya walaupun kita melahirkan secara pembedahan. Saya teringat kata-kata seorang Doktor masa saya baru lepas scan, “Puan kena bersyukur kerana setakat saya belajar kes macam puan ni memang susah untuk hamil, banyak kes hamil tapi gugur” Allahuakbar alhamdulillah.

Pada yang masih belum hamil moga tabah hadapi ujian, jangan putus doa dan dapatkan nasihat pakar. Tidak ada sesuatu yang dapat bergerak tanpa izin dariNya. Saya pernah tengok satu sharing di google satu masa dulu, seorang ibu ni bicornuate uterus tapi selamat melahirkan anak kembar. Miracle.

Doa banyak-banyak. Moga ada keajaiban. Tiada yang mustahil insyaAllah. Saya doakan moga dipermudahkan urusan ibu-ibu bicornuate Uterus untuk hamil dan melahirkan. Amin.

sumber:
https://www.healthline.com/health/womens-health/bicornuate-uterus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *